[Surah Al-Baqarah Ayat 195]
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana
(menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke
dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan
sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[196]
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka
sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu
sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang
mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul),
sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di
antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia
mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau
bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam
keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan
Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat
Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang
mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia
berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu
kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna.
Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid
Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah
bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang
melanggar perintah-Nya).
[197]
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa
bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya
(dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri,
dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa
mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah
diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana
sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta
sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat
memikir dan memahaminya).


No comments:
Post a Comment